Friday, August 5, 2011

Kandungan anggur (molar pregnancy)

Oleh: Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan


APABILA seseorang itu disahkan mengandung pastinya bagi yang amat mengingini kelahiran cahayamata akan menyambut berita itu dengan perasaan gembira. Naluri seorang bakal ibu tentunya mengharapkan agar kandungannya sihat sehingga tiba waktunya bersalin.


Begitupun, ada kalanya kandungan yang diharapkan selamat dilahirkan, tetapi tidak menjadi manusia, sebaliknya menjadi anggur pula. Fenonema sedemikian dinamakan sebagai 'mengandung anggur.'
Anggur? Mungkin terbayang dalam fikiran segugus buah anggur di dalam rahim wanita. Di dalam perubatan perkara juga sebenarnya boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang aneh.


Kandungan ini dikatakan sebagai 'anggur' kerana tiada janin di dalam kandungan. Apabila dilihat melalui ultrasound, hanya kelihatan buih-buih sahaja. Buih-buih tersebut sebenarnya hanya mengandungi air.
Jika berbalik kepada sejarah kejadian manusia, Allah menjadikan Nabi Adam dari segumpal tanah dan dimasukkan roh. Kemudian Allah menjadikan Hawa sebagai pasangannya dari rusuk kirinya.


Bermula dari itulah, manusia terus berkembang. Kejadian manusia seterusnya melalui wanita iaitu ibu, daripada nutfah atau air mani, bercantum dalam rahim. Kemudian nutfah akan diproses menjadi segumpal darah.


Apabila kandungan masuk bulan kedua ia bertukar menjadi janin dan kemudian alaqah. Selepas itu ia menjadi mugdah (bentuknya bagai segumpal daging dimamah). Ketika inilah ia melalui proses pembentukan organ-organ.


Kandungan di dalam peringkat alaqah, denyutan jantungnya boleh dikesan melalui proses scanning. Oleh kerana itu, apabila kandungan yang sepatutnya sudah berada di peringkat alaqah tidak dapat dikesan denyutan jantungnya,ia bermakna mengandung anggur.


Kalau dikaji salah satu kelainan yang berlaku ini dari segi perubatan, baka kromosom dan gen daripada pasangan tersebut agak luar biasa. Kemungkinan sewaktu percantuman benih berlaku kerosakan.
Kadang-kadang faktor pasangan yang terdedah kepada bahan kimia atau racun atau gas tanpa disedari boleh menyebabkan perkara ini berlaku. Begitu juga akibat jangkitan kuman virus yang tidak dikenali.
Ada andaian mengatakan ada makhlus halus mengganggu manusia ketika percantuman benih. Oleh kerana itu sewaktu bersetubuh, digalakkan mengikut sunnah Rasullulah saw dengan membaca doa terlebih dahulu.
Di dalam diri setiap manusia ada syaitan dan jin berkeliaran dalam darah. Bagi wanita, tumpuannya di dalam rahim.


Di kalangan wanita yang mengandung anggur, mereka tetap mengalami loya dan muntah. Bahkan kadang- kadang pengalamannya loya dan muntah lebih teruk dari biasa.
Oleh kerana itu, apabila mengalami kelewatan haid daripada biasa, digalakkan untuk melakukan ujian air kencing. Kini peralatan mengadakan ujian air kencing boleh dilakukan sendiri di rumah dengan menggunakan 'home-test' yang boleh dibeli di farmasi.


Sekiranya melalui ujian ultrasound mendapati tiada janin di dalam kandungan, ujian air kencing juga perlu dilakukan. Kebiasaannya dalam ujian air kencing mendapati hormon BHCG meningkat dalam darah. Keadaan sedemikian perlu diawasi kerana risiko terdekat ialah pendarahan paling banyak dan melimpah boleh mengancam nyawa.
Bagi wanita yang mengandung anggur, rawatan yang perlu dilakukan ialah melakukan D&C. Proses D&C juga perlu dilakukan sebanyak dua kali. Rawatan D&C kali kedua dilakukan dalam tempoh 2 minggu dari rawatan pada kali pertama.


Proses D&C ini perlu dilakukan sebanyak dua kali kerana sel-sel kehamilan anggur ini berpotensi menjadi kanser rahim Chorio carcinoma. Bagi mereka yang pernah mengandung anggur, antara 5 hingga 10 peratus daripada mereka boleh mendapat kanser jenis ini.


Selepas melalui proses D&C pada kali kedua, pusingan haidnya perlu diawasi. Sekiranya kedatangan haidnya tiada selepas itu, ia akan membahayakannya, kemungkinannya ditumbuhi kanser tersebut.
Ketika itu ujian air kencing dilakukan, keputusannya akan positif. Ujian darah boleh dibuat untuk memastikan hormon BHCG tiada dan sel-sel kehamilan anggur juga tiada.


Suatu ketika dahulu sekiranya seseorang yang pernah mengandung anggur dan dirawat sebaik-baiknya dua tahun selepas itu baru boleh mengandung semula.
Namun, kini, selepas 6 bulan sudah boleh mengandung semula. Namun sebelum mengandung, pihak doktor perlu memastikan hormon BHCG dan sel-sel kehamilan anggur sudah tiada.
Namun, kanser Chorio carcinoma ini jika berlaku, ia boleh diubat dengan menggunakan ubat methrotrexe berbanding kanser jenis lain yang memerlukan kimoterapi.


Sebenarnya kehamilan anggur boleh berulang semula, namun pencegahan boleh dilakukan. Asid folik antara 5 hingga 10mg perlu diambil dalam tempoh tiga bulan sebelum kehamilan untuk mengelakkan kehamilan anggur.

Wednesday, August 3, 2011

THANK YOU

Thank you ALLAH for blessing us with the rain this evening (03/08/2011)-3rd Ramadhan







TENANGLAH HATI

Setiap hari kita ketawa.

Setiap hari kita jumpa kawan.

Setiap hari kita dapat apa yang kita inginkan.

Tetapi... kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tetapi... kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman, "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan..."

Apa masalah kita?

Hati kita tidak gembira sebab kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat di sekeliling kita.

Kita berdoa, tetapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tetapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita.

Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tetapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tidak bersyukur pada Allah. Apabila datang kesusahan, baru ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih... mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nakmakbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la...

Pernah kita bangun malam, solat sunat? Solat tahajud? Solat taubat? Pernah?

Ada, mungkin ada, tapi dulu... waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kena ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu... ada? Ada, time dah nak exam... waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur?Hmm... entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tetapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan itu? Hati kita tetap juga tak tenang. Kenapa ye?

Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang?

Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan itu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita... sedangkan Allah menciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni.

Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehingga semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah.

Betapa Allah muliakan kejadian manusia.

Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada.

Nabi Muhammad S.A.W, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita...? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas Baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkanlah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlaskanlah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya-Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul Iman itu sendiri. Tenanglah dikau, wahai hati...

- Artikel iluvislam.com

:face43::face75: