Thursday, January 20, 2011

KESABARAN

Kehidupan kita di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan berbagai ujian dan cabaran. Allah senantiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian. Ujian darinya adalah bertujuan untuk menilai sejauh manakan tahap kesabaran manusia, samada mereka bersabar atau sebaliknya. Allah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur presediaan untuk menempuh setiap ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan kelu kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan menyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.
Ujian Allah bertujuan mendidik manusia agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepadanya. Nilai keimanan seseorang bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan. Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar. Bagaimanapun, kebiasaanya ramai yang kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah, hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan. Malah, apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar. Ada pula yang hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah yang mesti diterima dengan sabar.
Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertaqwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patutu diutamakan,"(surah Ali Imran :ayat 186) Allah berfirman lagi, bermaksud;"Dan berikanlah berita gembira orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk."(surah Al-Baqarah:ayat 155-157). Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat.